


Cintaku kepada Dia... Rinduku hanya pada-Nya... Kasihku tulus buat-Nya... Setiaku balas kasih-Nya... Kasihku kasih yang setia... Pada yang punya...
Sudah terlalu kerap. Malah selayaknya dibuat satu amalan khas kepada budaya umat Islam untuk meng’forward’kan sms, email dan surat yang mempunyai elemen agama .
“Sila sebarkan SMS ini. Kalau tidak kamu akan ditimpa bencana daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
“Jika anda mahukan kejayaan yang akan dikurniakan Allah SWT maka jangan tunggu lama-lama untuk forward kan email ini kepada 20 orang. Sudah pasti akan datang ganjaran tanpa anda duga”
Ayat-ayat sedemikian telah membuatkan kita berasa ragu-ragu untuk tidak melakukan apa yang diugut oleh orang yang menghantar sms dan email itu kepada kita. Malah kita kononnya beranggapan mungkin rezeki yang dikurniakan Allah SWT sepatutnya dilaburkan kepada usaha penyebaran maklumat agama ini. Apatah lagi email yang tidak mengurangkan walau sesen pun duit poket kita.
Ada juga surat berantai yang kadang diterima kononnya dari pemegang anak kunci makam Rasulullah SAW. Ada yang dinamakan dengan Syeikh Ahmad. Ada yang dinamakan dengan Syeikh Omar. Namun setelah ditanya kepada penduduk Madinah berkenaan orang ini maka mereka secara terus menerus menyangkal dakwaan ini. Penduduk Madinah sendiri tidak pernah mengenali nama orang tersebut. Ini merupakan satu pembohongan. Perkara ini juga telah dinyatakan secara khusus di dalam bab akidah oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi didalam kitab Fatawa Muasarah beliau.
Perkara yang dipertikaikan adalah bagaimana mereka boleh membuat satu jaminan kebahagiaan (pahala) dan jaminan ‘bala’ atau bencana jika tidak menyebarkan petikan tersebut. Secara ringkasnya disini, saya simpulkan mengapa ianya berbahaya kepada agama dan perlu dikikis dari budaya remaja kita yang bergelumang dengan teknologi. Walaupun mereka ini bersemangat dalam beragama, namun semangat sama sekali tidak di’halal Jakim’kan sekiranya ia melanggar disiplin keilmuan Islam.
1) Menafikan Kesempurnaan dalam Agama Islam
Didalam surat berantai, Sms dakwah, email islamik yang mempunyai dakwaan dan amaran yang bukan berasal dari al-Quran dan as-Sunnah. Ini menggambarkan seolah-olah agama Islam itu belum sempurna dan memerlukan kesempurnaan lain dengan amaran dan dakwaan daripada manusia lain selepas kewafatan Nabi SAW. Didalam surah al-Maidah : 3 : Bermaksud :
“ Pada hari ini telah Aku sempurnakan kepada kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku telah redha Islam itu sebagai agama kami”.
2) Mewajibkan dan mengharamkan sesuatu yang tidak datangnya daripada al-Quran dan Sunnah.
Ini seolah-olah kita mewajibkan dan mengharamkan sesuatu yang tidak pernah disuruh di dalam agama. “Jika anda tidak menyebarkan maklumat ini maka anda akan mendapat musibah”. Siapakah kita dalam mewajibkan dan mengharamkan? Firman Allah dalam Surah an-Nahl : 116 , bermaksud :
“ Dan janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kalian secara dusta, “Ini halal dan ini haram”, untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah SWT. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak akan beruntung.”
3) Adakah kita ‘sang pencipta’ syariat yang baru?
Sebahagian sms dan email yang menjadikan emailnya merupakan suatu ketentuan hukum. Malah boleh pula kita menetapkan bilangan tertentu untuk di’forward’. Sebagai contoh, “anda dikehendaki menyebarkan mesej ini kepada 20 orang yang anda kenali seminggu selepas anda mendapat maklumat ini”. Bukankah kita seolah-olah menjadikan diri kita ini seperti ‘sang pencipta’ syariat yang baru. Firman Allah SWT di dalam surah al-Syura : 21 yang bermaksud :
“Apakah mereka mempunyai sembahan selain Allah yang menetapkan aturan agama bagi mereka yang tidak diizinkan (diredhai) oleh Allah?”
4) Tidak mengenal pasti siapakah penyebar maklumat
Islam mementingkan persoalan maklumat yang disampaikan. Ia tidak menerima secara semberono siapa sahaja yang bercakap tanpa alasan yang jelas. Namun setiap dakwaan itu memerlukan hujjah dan dalil. Tambahan pula ianya berkait rapat dengan agama. Sebab itu Ahli Sunnah menjadikan ( al-Tathabbut) atau membuat kepastian dalam sesuatu fakta adalah asas dalam pengambilan sesuatu maklumat, atau menghukum orang lain. Tujuannya agar agama tidak ditokok tambahkan. Firman Allah SWT didalam surah al-Hujurat : 6 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa sesuatu berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum ( dengan perkara yang tidak diingini ) dengans ebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”
Disebabkan itu Ulama tabi’in Muhammad Ibn Sirin (w110) berkata : “Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan al-Sunnah adalah din ( agama).Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu mengambil agama kamu”.
Sebenarnya budaya ini bukanlah budaya yang baik bagi seorang yang bergelar ‘orang teknologi’. Orang yang berteknologi sepatutnya adalah merupakan orang yang paling mengetahui selok-belok pembohongan dalam dunia internet. Namun sayangnya remaja yang bijak dengan dunia teknologi maklumat ini tumpas dan tewas apabila pembohongan itu datangnya dari email atau sms berbentuk agama. Kita takuti hasil sebaran kita kepada rakan yang lain menjebakkan diri kita ke atas pendustaan kepada Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam.
Ingat!!!..bohong, tipu dan ‘awta’ member-member boleh dikira ok lagi. Namun berbeza bila kita berbohong atas nama Nabi SAW. Jelas dalam hadis mutawatir yang bermaksud :
“Sesungguhnya berdusta keatasku ( menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain ( menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta keatasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.
5) Asalkan berita agama sahaja kita sebarkan.
Nampak sahaja macam keratan agama kita sebarkan. Bukankah orang yang berkualiti adalah orang yang mempunyai ‘filter’ dalam setiap ceritanya. Kekadang semangat dan kesungguhan kita untuk berdakwah melalui medium teknologi sesuatu yang boleh dibanggakan. Dan inilah peluang kita berdakwah. Namun, harus diingat dakwah juga memerlukan disiplinnya. Imam Muslim dalam muqaddimah kitab Sahihnya menerangkan :
“ Cukuplah sesorang itu dikira berdusta dengan dia menceritakan setiap cerita yang ia dengari”.
Disebabkan itulah para ulama amat melarang menceritakan dan menyampaikan sesuatu maklumat tanpa menyelidikinya. Antaranya Imam Malik bin Anas menyebut :
“ Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengari, dan sesorang tidak menjadi Imam ( pimpinan) sama sekali apabila menceritakan setiap yang dia dengar.”
6) Menilai logika isi kandungan email dan sms
Kekadang kita mampu berfikir secara logik dan mampu mempertikaikan isu-isu agama yang bersifat ta’abbudi. Namun, dalam isu ini kita seolah-olah terpukau dengan penceritaan dan ganjaran beserta ancaman dari sms dan email yang sampai kepada kita. Kalau dilihat secara logik pun kita mampu untuk mengetahui ‘keajaiban’ dan ke’misteri’an cerita yang sampai kepada kita dari sudut logiknya.
Dalam ilmu hadis terdapat kaedah Naqd al-Mutun atau dipanggil mengkritik teks. Iaitu melihat sejauhmana kebenaran boleh dipercayai daripada sesuatu teks. Ini dengan cara membandingkan teks tersebut dengan al-Quran atau al-Sunnah dan sejarah yang boleh dipegang dengan akal yang waras. Imam Ibn Jauzi (w 597) berkata :
“Apabila engkau melihat sesbuah hadith menyanggahi logic, menyalahi manqul ( al-Quran ) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu”.
7) Orang lain sebar anda turut berdosa
Apabila kita melakukan sesuatu yang benar-benar sunnah. Lalu kita menyebarkannya, maka pahala yang diperolehi sama seperti orang yang mengamalkannya. Samalah juga apabila kita melakukan sesuatu perbuatan dosa akibat menyebarkan sms dan email palsu, lalu diikuti oleh orang lain, maka samalah dosa mereka dengan kita.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang melaksanakan suatu sunnah hasanah, maka baginya pahala dari perbuatan tersebut dan pahala orang-orang yang beramal dengannya tanpa berkurangan sesuatu pun dari pahala-pahala mereka. Dan sesiapa yang melaksanakan dalam Islam suatu sunnah yang tidak baik (sayyia’ah) maka diatasnya dosa perbuatan itu dan dosa orang yang beramal dengannya tanpa berkurangan sedikitpun. ( Hadis Sahih Muslim )
Kami buat ini atas maksud dakwah. Bukankah ianya sesuatu yang baik?
Para sahabat RA sentiasa berpegang dengan prinsip ‘Lau kaana khairan lasabaquuna’. Bermaksud ‘sekiranya ianya perbuatan baik, maka sudah pasti kami mendahuluinya’. Mereka golongan yang teramat pantas melakukan kebaikan. Kerja dakwah mereka dijual beli dengan harta dan nyawa. Namun, mereka sama sekali tidak melakukan perkara yang bukan dari al-Quran dan Sunnah walaupun ianya dianggap baik.
Buat remaja yang bersemangat dalam menggabungkan teknologi maklumat dan urusan dakwah. Marilah kita sama-sama merenung kata-kata Imam Ibn Jauzi dalam kitab beliau berjudul Talbis Iblis terhadap golongan yang suka dan seronok menyebarkan cerita-cerita yang jauh dari disiplin ilmu. Katanya :
“Orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu, sebaliknya berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang jahil. Maka timbullah bidaah dalam bidang ini….dalam kalangan mereka ada yang memalsukan hadis-hadis dalam at-targhib (menggalakkan ibadah) dan at-Tarhib ( menakutkan orang ramai kepada maksiat). “ Iblis menipu mereka dengan mengatakan “ Tujuan kami adalah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru, dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan”. Mereka lupa sabda Nabi SAW : Sesiapa yang berdusta keatasku dengan sengaja maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.” ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, hlm 143, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.)
Penulisan ini bukanlah mengkritik sesiapa, sekiranya ia hanya menyuruh rakan-rakan lain men’forward’kan sms dan email dakwah atas tujuan kepentingan dakwah. Tetapi yang dikritik adalah apabila ia menyatakan ganjaran dan habuan serta amaran berlakunya musibah terhadap perbuatan ‘forward’ tersebut.
Ayuh bersama kita menjadi pendakwah dalam dunia teknologi berdasarkan ilmu. Kerana ilmu itu pagar bagi orang yang bersemangat. Saya juga memohon kemaafan dari Allah SWT sekiranya berlaku keterlanjuran dalam menyebarkan dakwah agama ini.
copied from here...
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.