(dipetik daripada sebuah buku motivasi Galeri Ilmu yg bertajuk U-Turn ke Jalan Lurus nukilan Ustaz Zul Ramli M. Razali m/s 206-208.)
Hati seorang ayah benar-benar terluka. Petang itu dalam perjalanan pulang dari kerja ketika seluruh tubuhnya terasa remuk dibedal beban tugas seharian, pihak sekolah anak lelakinya menelefon, meminta dia segera bertemu guru disiplin sekolah.
"Encik ... anak encik terpaksa kami buang dari sekolah ini kerana masalah disiplin yang amat serius," ujar guru disiplin di dalam bilik kaunseling yang sunyi, tetapi patah bicara itu seperti bunyi letupan yang sangat membingitkan. Kemudian dari itu dia tidak mendengar apa-apa. Dia hanya melihat kumat-kamit bibr guru disiplin membentangkan satu persatu kesalahan anaknya sedang fikiran telah melayang ke ruang gempita penuh aib. Rasa malu, marah dan kecewa bergumpal dalam rongga dada. Muka terasa panas, arang hitam seperti tertempel di segenap ruang wajah.
Tiada rayuan dibuat, anak dibawa pulang.
Atas kekecewaan memuncak, dia suami isteri membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke sebuah sekolah tahfiz al-Quran jauh di luar bandar. Biar anak jauh dari hingar kota, jauh dari rumah, jauh dari masakan ibu, biar jauh dari segala-galanya. Biar dia rasakan!
Pada hari anak dihantar ke asrama baru itu, tanpa mahu menoleh pada wajah, anak ditinggalkan. Dia tidak mempedulikan perasaan anaknya kerana perasaanya sendiri sarat dengan rasa kesal dan kecewa yang berlubuk.
Pada setiap bulan, dia akan ke sekolah anaknya yang jauh di luar bandar untuk membayar yuran tetapi dia tidak mahu berjumpa dengan anaknya. Itu muktamad darinya. Dia penat dan serik menaruh harapan pada anaknya.
Sehinggalah lapan bulan berlalu, ketika dia menjelaskan bayaran yuran seperti biasa dan ingin berangkat pulang, seorang guru datang kepadanya dan meminta agar dia bertemu anaknya.
"Encik ... silalah berjumpa dengan anak encik, kami rasa sudah lama benar dia menyebut ingin bertemu dengan ayahnya ..."
Perlahan bicara ustaz dalam nada merayu.
"Tak mengapalah, saya rasa tidak ada keperluan untuk itu. Biarlah dia di sini dan saya akan terus membayar yuran yang sepatutnya."
Tegas jawapannya ingin memuktamadkan bicara.
"Tapi ... tidakkah pada hari ini encik ingin berjumpa dengan seorang al-hafiz?" bisik ustaz ke telinganya.
"Hari ini anak encik telah hafaz seluruh al-Quran. Dia telah habis menghafaz dalam tempoh lapan bulan!" Sepatah-sepatah bicara ustaz, dia hanya mendengar kehairanan.
"Tidakkah encik mahu mengucapkan sedikit tahniah kepadanya?" tanya ustaz mengakhiri bicara.
Dia tergamam dan terdiam. Dia tidak percaya apa yang dia dengar. Dia tidak sangka dan bertanya adakah dia berhak untuk merasai keajaiban ini.
Saat itu anaknya melangkah masuk berdiri ragu-ragu dengan wajah sarat menanggung rasa rindu hati seorang anak. Tanpa sedar, si ayah menangis dengan kuat, esakannya memenuhi ruang bilik itu. Dia meluru memeluk anaknya setelah sekian lama tidak melakukannya. Dia tidak percaya. Dia tidak menyangka bahawa dia sedang memeluk anaknya sendiri, seorang al-hafiz dengan cahaya al-Quran melimpah di wajah. Dia memeluk anaknya dengan begitu lama untuk menikmati rasa damai dalam hatinya sendiri.
Si anak sejak ditinggalkan ayahnya di situ lapan bulan lalu, sudah menanam tekad untuk berubah. Allah telah memberinya hidayah. Ditambah dengan didikan ustaz dan siraman cahay al-Quran, dia mendapat kekuatan untuk meninggalkan sejarah lampaunya dan membuat pusingan U dalam hidupnya.
Kisah benar bagi anak di atas memberitahu kita bahawa semua orang boleh berubah. Walau apa sejarah lampau kita, itu bukan apa-apa untuk masa depan kita. Orang lain ada hak untuk fikir apa sahaja tentang kita tapi segalanya terletak kepada kita sendiri.
Apa yang perlu adalah berani memulakan langkah pertama. Nanti pada langkah kedua pasti dibantu oleh Allah untuk melanjutkan perjalanan seribu batu. Kesukaran paling besar hanya ketika ingin memulakannya.
Melakukan kebaikan sama seperti mengusahakan percikan api bagi membuat unggun. Percikan api kesedaran itu nanti akan terus memakan kayu kering dan kemudian marak dengan sendiri, mungkin akan jadi sebesar gunung. Kerja kita hanya bermula dengan membuat percikan api, kemudian semuanya berjalan sendiri.
Apa yang penting adalah titik mula (noktah bidayah). Kuasai titik itu bereti kecemerlangan berada di dalam genggaman. Sekiranya terlepas satu titik, segera temui titik lain dan nanti jangan bertangguh.
Dalam keghairahan dan istiqamah melakukan kebaikan sekiranya tersasar dan terlencong, segera cari jalan kembali ke jalan lurus dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan, kita tidak akan menjumpai destinasi, iaitu keredhaan Allah (mardhatillah).
Justeru itu, pengajaran dan peringatanlah yang membuatkan kita mencari U-Turn untuk kembali ke jalan lurus, hidayah yang paling mahal dari Allah.
-------------------------------------------------------------------------------------
sy rse bngge sgt dgn si anak dlm cerita ni.
alangkh indh & syukurnye kalo sy dpt mnjd spt si anak.
smoga suatu hr nnti impian sy utk mnjd seorg al-hafizah mnjd kenyataan.
walaupun skrg ni sy masih dlm thp bwh2 lg dlm bidang pngajian al-Quran ni, smoga impian suci tu akn mnjd kenyataan. walaupun mngkin ia mngambil mse yg agk lme nnti, doaknlh sy mmpu ye...
smoga kte sume mmpu mnjd seorg al-hafiz & al-hafizah suatu hr nnti insya Allah... ~jazakallahu khairon kathiro~
No comments:
Post a Comment